ASAL USUL NAMA SEKOLAH

Nama tokoh sekolah ini adalah sempena nama kampung iaitu Kampong Sitiawan. Kampung Sitiawan ini telah wujud sejak zaman pemerintahan inggeris di tanah melayu. Kampung ini adalah di antara kampung yang tertua di daerah dinding ini yang kini dikenali sebagai daerah manjung.

Sitiawan berasal daripada perkataan "Setia Kawan". Menurut cerita orang tua-tua di kampung ini, sifat setia kawan sepasang gajahlah yang melahirkan nama sitiawan. Kononya ada sepasang gajah hendak menyeberangi sebatang sungai di kampung itu. Gajah betina telah terkandas di tengah sungai kerana kakinya telah terbenam dalam selut (lumpur). Gajah itu telah berusaha untuk melepaskan dirinya tetapi gagal. Melihat keadaan sedemikian, gajah jantan cuba menarik keluar pasangannya dengan menautkan belalai masing-masing. Namun gajah tersebut tidak juga dapat dikeluarkan dari lumpur itu.

Apabila air pasang, paras air sungai tersebut telah naik dengan mendadak, Maka semakin kuatlah taulan belalai mereka seolah-olah tidak mahu dipisahkan, namun apakan daya, gajah betina semakin ditenggelami air sungai itu lalu mati lemas. Gajah jantan terus menunggu dan menunggu dalam kedukaan. Akhirnya gajah jantan juga turut mati di sungai itu. Begitulah setianya pasangan gajah tersebut.

Tragedi kematian gajah dengan sifat setianya itu telah mencuit hati penduduk kampung itu untuk menamakan sungai itu Sungai sitiawan dan kampung itu juga diberi nama Kampong Sitiawan. Kemudian kerajaan inggeris telah mendirikan sebuah sekolah disitu. Sekolah itu juga turut dinamakan Sekolah Kebangsaan Sitiawan. Bangunan sekolah itu tetap wujud hingga kini dengan megahnya di kawasan Sekolah Kebangsaan Sitiawan.





SEJARAH SEKOLAH

      Sekolah Kebangsaan Sitiawan telah ditubuhkan pada tahun 1876 di Kampong
Sitiawan. Sekolah bertiang batu ini telah melahirkan seramai 25 orang murid dan seorang guru. Bilangan murid telah bertambah kepada 50 orang dan dua orang guru di sekitar tahun 1901-1916.  Sejarah penetapan nama sekolah ini adalah bersempena Kampong Sitiawan itu sendiri.
       Pada tahun 1980, pentadbiran dan pengurusan sekolah diambil alih oleh seorang guru besar iaitu Hj. Shahar bin Yen. Semasa pentadbiran beliau, sebuah bangunan baru telah didirikan pada tahun 1981. Bangunan konkrit  ini mengandungi 3 buah bilik darjah, sebuah bilik komputer, sebuah pejabat dan bilik guru. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak pada 21 Julai 1984.

       Pada 26 September 1988, En. Shahar telah bersara.Tugas beliau telah diambil oleh En. Daud bin Kasim bermula 27 Januari 1988 sehingga 18 Februari 2000. Banyak perubahan dan kemudahan telahdilakukan antaranya, dataran kejat, laluan pejalan kaki berbumbung,baik pulih kantin dan bangunan sekolah. Pada tahun 2000- 2001, En. Ibrahim bin Md. Teridi telah dilantik menjadi Guru Besar . Diikuti tahun 2001-2003, En. Kamaruzzaman bin Hasbullah telah memegang jawatan Guru Besar. Seterusnya Pn. Hjh. Umi Kalthom bt Abd Rashid telah menerajui pentadbiran sekolah ini pada akhir tahun 2003 sehingga September 2012. Beliau merupakan Guru Besar wanita pertama di sekolah ini.

      Pada September 2012, Pn. Hjh. Rosni bt Abu Bakar telah ditempatkan untuk menggantikan  Pn. Hjh. Umi Kalthom yang telah bertukar ke SK Seri Sitiawan.Sepanjang perkhidmatan beliau beberapa penambahbaikkan telah dilakukan antaranya menukar pentas ucapan di tapak perhimpunan dan menjadikan pentas lama sebagai pondok menunggu bagi murid apabila selesai waktu sesi persekolahan. 
      Selain itu, penubuhan  Dewan Setiakawan untuk pelbagai kegunaan aktiviti sekolah pada tapak bilik guru lama dengan memberi keselesaan kepada warga sekolah. Pada Mac 2013 pula, sekolah telah menerima menara pemancar Internet 1Bris.

    Selain itu juga, Pn. Hjh. Rosni bt Abu Bakar juga telah melibatkan sekolah dalam Program Keceriaan Sekolah dan Program Menaiktaraf Pusat Sumber (PSS).Sekolah telah mencapai kejayaan di peringkat zon bagi pertandingan Pusat Sumber Cemerlang dan seterusnya dicalonkan untuk bertanding ke Peringkat Daerah Manjung bagi tahun 2014.